testing

Sunday, December 8, 2013

RIP Nelson Mandela 1918 - 2013

Tertarik plak aku baca kisah perjuangan Nelson Mandela ni....macam2 dugaan dia kene tempuh...dan akhirnya dia disegani seluruh dunia....

RIP Nelson Mandela 1918 - 2013....

 


MENYEBUT namanya ibarat melaungkan suara kedamaian penuh demokrasi. Biar pun meringkuk hampir tiga dekad dalam penjara sepi, usaha figura kelahiran Mvezo, Afrika Selatan itu selama hayatnya meninggalkan satu legasi paling berharga dalam sejarah dunia.
Khamis lalu, Nelson Mandela, 95, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Johannesburg, dan kematiannya memberi kesan mendalam kepada individu dan sebilangan masyarakat.
Keperibadiannya tidak pegun di negara sendiri, malah menjangkau ke benua-benua lain sehingga diangkat sebagai tokoh moral dan pemimpin politik yang berwibawa.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut terkesan dengan kehilangan penerima Hadiah Nobel Keamanan 1993 itu. Dalam kenyataannya kepada media, beliau menganggap Mandela sebagai pemimpin yang cukup hebat serta memiliki ketabahan luar biasa dan komitmen yang tidak pernah luntur dalam memperjuangkan keadilan sosial.
"Setiap kali ditanya siapakah pemimpin yang pernah saya jumpa yang paling saya kagumi, tanpa teragak-agak saya akan menjawab, Nelson Mandela," katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Beliau menambah, Mandela juga adalah insan bersifat pemaaf dan tidak memusuhi mereka yang pernah memenjarakannya kerana beliau lebih mementingkan perdamaian.
Perkara itu jelas terbukti ketika Mandela menyarungkan jersi ragbi pasukan Springboks pada kejohanan Piala Dunia Ragbi 1995 di Afrika Selatan. Stadium Ellis Park bergema dengan sorakan lebih 60,000 penonton yang melaungkan nama Mandela.
Springboks sebelum itu dijadikan simbol kebanggaan warga kulit putih Afrika Selatan, yang menjalankan dasar aparteid iaitu penindasan ekonomi dan sosial ke atas penduduk kulit hitam dari tahun 1948 hingga 1994.
Memakai jersi itu seperti satu signifikan kepada cara Mandela 'melupakan' peristiwa berdarah dan kenangan pahit yang memberi kesan mendalam kepada rakyat kulit hitam Afrika.
Dasar aparteid dikuatkuasakan secara meluas pada pemerintahan Presiden ke-7 Afrika Selatan, Hendrik Frensch Verwoerd, yang menolak kepentingan rakyat selain kulit putih. Mereka diberi layanan kelas kedua dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua dari kanan) dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin (kiri) tertawa kecil selepas Mandela menyatakan sesuatu dalam satu kunjungan tidak rasmi Mandela ke Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2000.


Mandela atau nama sebenarnya Rolihlahla Mandela dilahirkan di Mvezo, sebuah desa kecil di tepi Sungai Mbashe, di daerah Umtata, ibu kota Transkei (kini sebahagian wilayah Tanjung Harapan), Afrika Selatan pada 18 Julai 1918.
Beliau diberi nama Rolihlahla yang membawa maksud 'pembikin masalah' dalam bahasa Xhosa. Moyangnya, Ngubengcuka merupakan seorang raja daripada puak Thembu. Bagaimanapun, keluarga Mandela tidak boleh mewarisi takhta tersebut kerana datuknya dilahirkan daripada isteri keturunan puak Ixhiba.
Bapa Mandela, Gadla Henry Mphakanyiswa pula merupakan ketua bandar Mvezo, namun selepas Afrika Selatan dijajah, Mphakanyiswa dilucutkan jawatan.
Mphakanyiswa kemudian membawa keluarganya termasuk Mandela berpindah ke Qunu. Bapa Mandela memiliki empat orang isteri dan 13 anak iaitu empat anak lelaki dan sembilan anak perempuan. Mandela dilahirkan oleh isteri ketiga Mphakanyiswa, Nosekeni Fanny iaitu anak perempuan kepada Nkedema daripada suku kaum Mpemvu Xhosa.
Kehidupan berubah
Di Qunu, Mandela hidup seperti kanak-kanak lain bermain riang bersama adik-beradiknya. Atas dedikasi Mphakanyiswa untuk melihat anaknya mendapat masa depan yang lebih baik, Mandela dimasukkan ke gereja Methodis.
Kematian bapanya ketika berusia sembilan tahun merubah corak kehidupan Mandela. Berdasarkan wasiat Mphakanyiswa, beliau dijadikan anak angkat kepada pemangku diraja suku Thembu, Jongintaba Dalindyebo.
Di istana itu, Mandela diajar bahasa Inggeris, bahasa Xhosa, sejarah dan geografi. Dari situ beliau memahami kesan kedatangan pihak kulit putih membawa kesan negatif kepada penduduk kulit hitam Afrika.
Ketika berada di tahun kedua di Kolej Universiti Fort Hare iaitu satu-satunya institusi tertinggi untuk orang kulit hitam, Mandela telah dibuang universiti kerana mengetuai pemprotesan pelajar menentang aparteid pada tahun 1940.

MAHATHIR dalam satu pertemuan dengan Mandela di Stadium Negara Kuala Lumpur pada tahun 1990.


Beliau kemudian melanjutkan pendidikan melalui program jarak jauh di University of South Africa (UNISA) di Johannesburg. Setelah mendapat ijazah dalam bidang perniagaan, dia mendaftar dalam program Sarjana Muda Undang-Undang di University Witwatersrand.
Mandela membentuk Liga Pemuda Kongres Kebangsaan Afrika (ANC Youth League) pada tahun 1944 berikutan sistem ANC pimpinan lama tidak selaras dengan perjuangan asas.
Pada awalnya, gagasan baharu itu memulakan kempen menentang dasar diskriminasi antara kaum secara lembut dan tanpa sebarang keganasan. Namun, usaha itu gagal.
Berikutan peristiwa pembunuhan Sharpeville pada tahun 1960, pendekatan Mandela mula berubah. Pemberontakan itu meragut nyawa 69 orang, manakala 181 yang lain cedera teruk. Pihak pemerintah telah mengharamkan semua kegiatan parti politik dan sebarang perjumpaan antara orang kulit hitam.
Beratus-ratus pemberontak ditahan dan dipenjarakan termasuklah Mandela pada tahun 1961. Beliau meneruskan perjuangan dengan menjalankan aktiviti bawah tanah dan menubuhkan sayap militer ANC, Umkhonto we Sizwe (MK).
Setahun kemudian, Mandela meninggalkan tanah airnya untuk mendalami latihan ketenteraan di Algeria dan mengadakan latihan untuk ahli-ahli MK.
Sekembalinya Mandela ke negaranya, beliau terus ditahan dengan alasan meninggalkan negara secara haram dan menyemarakkan semangat memberontak kepada rakyat.
Menerusi pendakwaaan itu, Mandela dihukum penjara selama lima tahun pada November 1962. Ketika masih menjalani hukuman itu, beliau sekali lagi didakwa dalam sebuah perbicaraan yang dikenali sebagai Rivonia Trial.
Dalam perbicaraan itu, Mandela dikenakan hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan mengkhianat, menghasut dan melakukan keganasan terhadap rejim Afrika Selatan. Selama 27 tahun hidup dalam penjara di Robben Island, Mandela sempat mendapat ijazah undang-undang melalui program koresponden Universiti London.
Mandela dibebaskan pada Februari 1990 akibat desakan pemimpin-pemimpin dunia semasa perubahan kuasa kerajaan kepada Presiden baharu Afrika Selatan, Frederik Willem de Klerk. Parti ANC turut dilepaskan daripada sebarang sekatan.
Semasa pilihan raya umum tahun 1994, parti ANC menang besar dan Mandela diangkat sebagai Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan.
DETIK bersejarah ketika Mandela menyarungkan jersi Springboks dan menyampaikan piala kejohanan Piala Dunia Ragbi 1995 kepada ketua pasukan ragbi Afrika Selatan Francois Pienaar (kanan).


Hentikan cengkaman
Peristiwa bersejarah itu juga menamatkan cengkaman dasar aparteid yang membelenggu penduduk kulit hitam selama 46 tahun.
Pemerintahan Mandela mengembalikan kuasa orang kulit hitam dan menyeimbangkan ekonomi Afrika Selatan yang teruk di bawah dasar aparteid.
Selama lima tahun menjadi Presiden, Mandela langsung tidak melakukan sebarang penindasan sebaliknya menekankan kepentingan hak sama rata rakyat Afrika Selatan tanpa mengira warna kulit.
Sumbangan Mandela atau dipanggil Madiba oleh rakyat Afrika Selatan terus kekal walaupun jasad tiada di depan mata. Auranya masih dirasai. Setiap butir bicaranya menjadi sumber motivasi dan inspirasi kepada segenap masyarakat dunia.
Sementara itu, Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma menyatakan pe mergian Mandela sebagai satu kehilangan besar kepada bangsanya.
"Negara kita telah kehilangan seorang anak yang sangat hebat. Kita telah kehilangan seorang bapa. Walaupun kita sedar hari ini bakal tiba, tiada yang dapat menggambarkan kesedihan dan kehilangan beliau," ujarnya ketika mengumumkan berita kematian Mandela secara langsung di stesen televisyen tempatan.
Sumber : Kosmo Online

No comments:

Post a Comment